Sunday, 26 October 2008

My Reference: Alkohol dan memfatwakan hukum

(Ref: EMSA-Family e-group discussions about alcohol in drinks-Dec 2003) - INTERNAL DISCUSSIONS FOR OUR PERSONAL INFORMATION, PLEASE DO NOT CIRCULATE FOR FORMAL REFERENCE BUT FEEL FREE TO READ AND SHARE THE GIST OF THE DISCUSSIONS)

Ulasan Ustaz Azman:

Dengan rendah diri ingin juga saya mencelah. Laporan
akhbar Malaysia menyebut bahwa minuman ribena tersebut
mengandungi arak. Jadi dengan jelas perkataan arak
disebut samada terjemahan bagi alkohol atau mana-mana
brend arak yang lain. Kalau sudah jelas kandungan
arak, walaupun sedikit maka ia adalah haram.

Sekarang ni masalah utama ialah sekiranya minuman jus
tersebut mengandungi kandungan alkohol. Ada yang
memetik fatwa mufti. Kalau boleh tolong sertakan
rujukan ambil kat mana, tarikh fatwa dan mufti negeri
mana.

Pada pengetahuan saya yang cetek, saya tak biasa
mendengar alkohol yang dilarang ialah alkohol yang di
ambil daripada anggur. Lagipun kitab al-Hidayah adalah
kitab fiqh bukan kitab hadith untuk memastikan
kesahihannya.

Memang ada banyak lagi hadith-hadith lain yang jelas
di mana Rasulullah menyatakan bahawa setiap benda yang
memabukkan adalah khamr dan setiap khamr adalah haram.
Banyak juga hadith yang menegaskan jenis-jenis arak
yang dibuat oleh orang arab dulu seperti jus tamar,
labu, anggur, dll yang apabila dibiarkan beberapa hari
akan menjadi haram kerana memabukkan, tanpa menyebut
samada ia diproses menggunakan alkohol. Di antara
minuman kegemaran Rasulullah ialah al-nabiz iaitu jus
kurma, dimana buah kurma direndam di dalam air selama
satu hari atau satu malam kemudian, diminum. tetapi
hanya dalam tempoh satu hari satu malam sahaja.
Biasanya selepas dua atau tiga hari (bergantung kepada
cuaca) dia akan rosak (memabukkan/jadi arak) dan
haram.

Alkohol itu sendiri berasal daripada bahasa arab.
Namun kebanyakan arak zaman sekarang walaupun
mempunyai nama yang berbeza tidakpun menggunakan jus
buah-buahan. Mereka hanya bubuh alkohol dan perasa
sahaja sehingga ia lebih dikenali dengan alkohol i.e
arak.

Saya masih ingat lagi banyak perbincangan berkenaan
dengan alkohol samada di Malaysia ataupun di Madinah
dulu. Secara ringkas boleh dirumuskan bahawa arak itu
adalah haram dalam apa bentuk sekalipun termasuklah
dadah apabila disalahgunakan. Adakah arak itu najis
atau tidak? ulama berselisih pendapat dalam hal ini.
Jumhur ulama berpendapat bahawa ia adalah najis,
tetapi tidak perlu disamakkan seperti najis babi.
Namun, kena bersihkan juga. Ada juga ulama yang tidak
mengaggap bahwa ia adalah najis kerana apabila
diharamkan arak secara total, para sahabat memusnahkan
arak mereka sehingga dikatakan jalan, jalan di madinah
dipenuhi arak. Kalau najis, mereka akan tanam arak
tersebut dan tidak sekali-kali membuangnya di laluan
orang ramai.

Dalam hal ini pendapat jumhur lebih kuat berdasarkan
firman Allah, "Sesungguhnya arak, judi, berhala,
tenung nasib adalah kotor daripada kerja shaitan".

Arak adalah haram walaupun sedikit kerana Rasulullah
bersabda: "apa yang diharamkan adalah haram sedikit
ataupun banyak".

Adapun alkohol untuk buat roti, tapai,untuk wangian,
dikira harus menurut kebanyakan ulama semasa kerana
umum al-balwa( keperluan). Dengan itu kandungan
alkohol dalam makanan/minuman yang tidak memabukkan
adalah dibolehkan. Cuma perlu diingat, air tapai
sekiranya dibiarkan beberapa hari akan menjadi mabuk
dan haram, lebih-lebih lagi air ribena yang ada
mengandungi alkohol tambahan. Setelah dibuka, jangan
dibiarkan di luar peti ais selama-beberapa hari,
kerana ia kan bertindak balas dengan udara dan
menghasilkan unsur "memabukkan". Cuma, persoalan yang
paling utama saya rasa untuk mengetahui halal haram
minuman ribena tersebut ialah perlu kita tahu adakah
alkohol daripada jenis yang sama digunakan "agent"
untuk buat minuman keras. Sekiranya jenis yang sama
digunakan untuk buat minuman keras, maka
seboleh-bolehnya hindarilah meminumnya kerana shubhat.
Ini kerana, alkohol yang digunakan adalah untuk
membuat makanan seperti tapai dan roti. Ia berakhir
dengan terjadinya/terbentuknya roti dan tapai,
bukanlah bertujuan untuk minum. Tapai dan roti akan
rosak setelah beberapa waktu dan dengan itu hilanglah
alkohol tersebut. Tapi dalam minuman tadi, ia sengaja
dibubuh untuk dijadikan minuman maknanya dimakan
terus.
Pada masa yang sama oleh kerana tindak balas dengan
udara, dalam tekanan dan suhu tertentu akan
menjadikannya arak.

Ini berbeza dengan wangian kerana tidak dimakan/minum.
Walau bagaimanapun saya tak berani mengatakan haram
kerana ia tidak memabukkan.

Munkin juga ustaz Farid dan Ustaz Ramzi boleh komen.

wassalam,


cuma saya berpendapat secara peribadi,

Azman M Noor.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Assalamualaikum,

Saya mohon mem'forward'kan disini respons dari Ust.
Azman kita. Cuma saya nak menambah bahawa dlm
pembuatan roti, selalunya digunakan ragi atau yis
(yeast)sejenis mikrob (makhluk halus? Ooops...) untuk
menghasilkan gula (memaniskan) dan yg penting utk
menghasilkan gas CO2 bagi menjadikan roti kembang. By
product yang terhasil adalah ethanol (alkohol) dlm
amaun yg kecil dan tidak memabukkan. Begitu juga dlm
pembuatan tapai pulut/ubi, yis digunakan utk
menghasilkan gula dan memaniskan tapai tersebut. Tuan
puan boleh rujuk email yg dihantar oleh Sdr Amir dulu.
Pengalaman saya masa belajar Teknologi Makanan di USM
dulu mendapati memang terdapat kandungan alkohol
(ethanol) sehingga 5% (dilaporkan dlm projek tahun
akhir pelajar) selepas dieram/fermented 2 hari.
Selepas 4 hari, kandungan ethanol akan bertambah (tak
ingat berapa peratusan, mungkin sampai 15%). Masa ni
tak leh makan sebab pasti mabuk. Lepas tu jika diperam
lagi, yis akan mati sbb kandungan alkohol terlalu
tinggi dan membunuhnya (terbunuh oleh kumuhannya
sendiri). Akan hidup pulak 'makhluk halus' lain yg
dipanggil aceto-bacter yang akan menukarkan alkohol
kepada asid asetik. Itulah yang dipanggil cuka dan
boleh dimakan.

Penghasilan alkohol mostly dibuat hasil dari
penapaian/fermentation. Bahan mentahnya samada jus
anggur, barli dsb. Namun ada juga etanol yg dihasilkan
melalui proses sintetik (ethane + karbon dioksida).
Jadi ada alkohol sintetik yang tidak melalui proses
penapaian seperti arak. Saya bersetuju dgn pendapat
Ust Azman bahawa terjemahan alkohol kpd arak adalah
kurang tepat. Dlm kes Ribena & Lucozade, alkohol yg
diguna adalah sebagai pelarut perisa (flavor) dan
pewarna (coloring) sebelum dicampur kedalam air utk
menghasilkan minuman tersebut. Bukannya ada proses
penapaian disini. Kita tidak tahu apa jenis alkohol yg
digunakan, adakah ethanol spt dlm arak atau jenis
alkohol yg lain. Kita juga tidak tahu samada alkohol
itu dtg dari proses penapaian atau sintetik. Di M'sia,
ada satu minuman yg dipanggil Guinness Malta dimana
dikatakan tidak mempunyai alkohol, kerana semuanya
telah disuling keluar. Kononnya minuman ini halal
diminum, maka berbondong-bondong lah anak-anak muda
Islam minum Guinness Malta. Pada hal minuman itu haram
kerana asalnya adalah arak, kemudian arak tersebut
disuling. Walaupun tiada alkohol, tapi kerana asalnya
adalah arak, maka ia tetap haram. Yang haram adalah
arak bukannya alkohol.

Untuk memberi hukum minuman tersebut halal atau haram
secara conclusive atau tegas mungkin agak sukar kerana
banyak grey areas berdasarkan pendapat yang berlainan
dan juga maklumat yang tidak cukup. Saya secara
peribadi cuba untuk menghindari perkara was-was dan
syubhat. Banyak lagi minuman yang bagus-bagus utk saya
dan keluarga. InsyaAllah elok benar kita berdiskusi
tentang perkara ini. Usahlah kita panik dan
terburu-buru. Semoga perbincangan seperti ini bakal
menjadikan kita lebih berilmu dan rasional.

Terima kasih dan Wassalam.

Lukman.
-------------------------------------------------------------------------------------------------

As-salamu 'alaikum wa-rahmat-llah,
Email saudara Lokman dan Ustaz Azman adalah dirujuk. Mereka berdua telah memberikan penjelasan yang bernas lagi meyakinkan. Cuma saya ingin menambah sedikit dari sudut pandang pemikiran Islam.
Umum mengetahui bahawa ulama membahagikan hukum Islam kepada qat'i (mutlak) dan zann (tidak mutlak). Ini membawa kepada dua keputusan iaitu sepakat (mutaffaq alaih) dan khilaf (boleh diperselisihkan). Kategori sepakat ialah berkaitan hukum solat fardhu, puasa, zakat fitrah dan haji umpamanya yang disebut jelas dan mudah difahami dalam bahasa Arab di dalam al-Qur'an.
Maka, kategori khilaf wujud apabila hukum yang disebut dalam al-Qur'an tidak jelas maksudnya ataupun terlalu umum. Misalnya seperti kewajipan membaca 'bismi-llah al-rahman al-rahim' dalam fatihah ketika solat itu adakah wajib/rukun ataupun tidak ? Panduan yang boleh dijadikan rujukan, hanyalah hadith Nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu, mereka yang menolak hadith (anti sunnah/hadith) dikira tidak solat, bagaimana mereka solat sedangkan mereka menolak tunjuk ajar Nabi !
Kemudian, apabila ulama ingin menentukan sesuatu hukum terhadap kes yang baru (yang tidak disebut oleh al-Qur'an atau tidak wujud di zaman Nabi), garis ukur yang digunakan ialah kaedah 'qias'. Qias diterima oleh jumhur 'ulama sebagai sumber perundangan yang keempat selepas al-Qur'an, Hadith dan Ijmak ulama. Kemudian imam mazhab masing-masing menambah tiga atau empat lagi mengikut keperluan seperti istihsan, istishab, 'uruf, masalih marsalah dll. Oleh itu, sesetengah kes yang pada asalnya tidak diharuskan, akan menjadi harus apabila dirujuk kepada sumber-sumber perundangan yang tersebut.
Imam Syafi'i sendiri dalam kitab al-Risalah, telah memperkenalkan suatu kaedah terbaru yang diiktiraf banyak membantu menyelesaikan kerumitan hukum fiqh, iaitu 'qawa'id fiqhiyyah' (kaedah-kaedah fiqh) yang dipopularkan selepas itu pula oleh tokoh hadith Imam al-Suyuti menerusi kitabnya 'al-ashbah wa-al-naza'ir'. Maka semakin banyaklah hukum-hakam yang menjadi kian rumit itu dapat diselesaikan berdasarkan kaedah terbaru ini.
Tujuan saya mendedahkan maklumat di atas, supaya kita tahu bagaimana sebenarnya proses memfatwakan sesuatu hukum. Hukum-hakam dalam Islam tidak seperti formula matematik 1+1=2 ataupun formula sains H2O= air. Di mana kedua-dua formula tersebut bersifat mutlak, tidak boleh berubah.
Islam mengajar umatnya satu lagi kaedah yang membolehkan sesuatu perkara pada asalnya haram, menjadi harus malah wajib pula. Kaedah yang saya maksudkan ialah 'rukhsah' (kelonggaran). Cth: bangkai asalnya haram dimakan, tetapi dalam keadaan darurat maka hukum rukhsah wajib dipakai, maka bangkai itu wajib dimakan untuk menghindarkan mudarat yang lebih besar iaitu mati kebuluran. Begitulah...
Seterusnya, dalam menghadapi dunia moden sekarang. Kepakaran dari semua pihak wajib digembleng bersama apatah lagi dalam membincangkan isu kepentingan agama Islam. Saintis dan 'ulama perlu duduk semeja, ini telahpun dibuktikan apabila kitab 'Tafsir al-Munir' keluaran Persatuan Ulama Malaysia yang baru siap satu jilid, adalah merupakan hasil cetusan kepakaran dua golongan ini, saintis dan ulama. Kerana, al-Qur'an di samping menyentuh hukum-hakam agama, al-Qur'an juga turut membincangkan tema sains seperti kedoktoran, biologi, geografi, aerospace, astronomi dll, yang sememangnya perlu campurtangan semua pihak yang berautoriti.
Maka, dalam isu alkohol yang dihangatkan kembali baru-baru ini. Pandangan pakar bio teknologi pemakanan, pakar kimia, pakar nutrienetik, pakar kefarmasian dan doktor perlu diberi ruang, yang akhirnya akan diputuskan pula oleh pakar-pakar perundangan Islam.
Nasihat saya mudah, iaitu biar 'kepakaran yang menentukan'. Saya bersetuju dengan Ustaz Azman, kerana itulah yang lebih hampir kepada kebenaran.
Wa-llah 'alam bi-al-sawab.
al-faqir ila rabbi-hi,
Farid Sharif.